Kerjaya pengurus pasukan bola sepak England Sam Allardyce berakhir dalam keadaan memalukan pada Selasa selepas dipaksa meletakkan jawatan, hanya 67 hari selepas mengambil alih tugas penting.

Ia susulan kenyataan kontroversi yang dibuatnya kepada seorang wartawan akhbar Daily Telegraph yang menyamar sebagai seorang ahli perniagaan dari Asia.

Allardyce, 61, secara rahsia dirakam memberikan nasihat mengenai bagaimana caranya untuk mengelak dari peraturan perpindahan pemain selain mengkritik Persatuan Bola Sepak England berhubung pembinaan semula Stadium Wembley dan mempersenda bekas jurulatih England, Roy Hodgson.

Allardyce dilantik pengurus England Julai lalu dengan kontrak 3 juta pound setahun.

Susulan peletakkan jawatannya Gareth Southgate dilantik pengurus sementara pasukan England membabitkan empat perlawanan menentang Malta, Slovenia, Scotland dan Sepanyol.

Persatuan Bola Sepak England dalam satu kenyataan di laman web rasminya berkata pihaknya dan Allardyce bersetuju untuk menamatkan kontraknya serta merta atas persetujuan bersama.