MASSIMILIANO ALLEGRI memuji Cristiano Ronaldo kerana mengubah perlawanan dengan jaringan ke-600 dalam kariernya ketika Juventus seri 1-1 dengan Inter, semalam.

Ronaldo menampan masuk gol pada minit ke-62 di San Siro bagi menafikan jaringan pembukaan Radja Nainggolan.

Pengendali Juve, Allegri, memuji barisan pemainnya yang turun beraksi tanpa Paulo Dybala, Mario Mandzukic dan Sami Khedira, berjuang untuk berkongsi mata dalam aksi 'Derby Itali'.

Nainggolan membuka jaringan pada minit ketujuh sebelum pelawat bangkit untuk berkongsi mata dan Allegri memuji kehadiran Ronaldo yang mengubah keputusan perlawanan.

"Sangat penting untuk memiliki pemain seperti Ronaldo, impaknya di atas padang meningkatkan mutu permainan pasukan," katanya.

"Kami hampir ketinggalan 2-0 tetapi mempamerkan persembahan terbaik. Inter memiliki skuad yang ampuh tetapi saya memuji kebolehan pasukan di atas persembahan yang ditampilkan."

JUVENTUS menjuarai gelaran Serie A yang kelapan berturut-turut minggu lalu selepas mengatasi Fiorentina 2-1, namun kejayaan itu telah dipalit dengan penyingkiran daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Allegri mengakui Juve kerap melakukan kesilapan selepas hanya merakamkan satu kemenangan daripada lima perlawanan.

"Berdepan Fiorentina minggu lalu, sama seperti ketika berdepan Ajax, kami dibolosi menerusi serangan balas pasukan lawan. Inter melakukannya tiga kali dalam perlawanan ini tetapi pertahanan kami mempamerkan aksi yang terbaik.

"Kami perlu memperbaiki hantaran kerana sekali lagi kami kerap melakukan kesilapan. Saya meminta kepada pemain-pemain supaya tidak melakukan kesilapan serta tidak membazirkan peluang menjaringkan gol."