Berita  | Sukan

Alonso bantu Chelsea padam semangat Arsenal

Alonso bantu Chelsea padam semangat Arsenal
Marcos Alonso (kiri) meraikan kejayaan menjaringkan gol ketiga bersama rakan sepasukan semasa perlawanan EPL antara Chelsea dan Arsenal di Stamford bridge London, 18 Ogos, 2018. (Foto AP)
CHELSEA 3 ARSENAL 2

Marcos Alonso menyumbat gol kemenangan ketika permainan berbaki sembilan minit dan memadamkan kebangkitan yang dipamerkan Arsenal untuk membantu Chelsea mencatat keputusan 3-2 di Stamford Bridge.

Pemain pertahanan itu menyambut hantaran Eden Hazard untuk memberikan kemenangan kedua di bawah kendalian Maurizio Sarri dan membuatkan The Gunners terus kempunan untuk mengutip mata pertama bersama pengurus, Unai Emery.
Permainan di Stamford Bridge tampak menarik buat pelawat selepas menyamakan kedudukan sebelum rehat hasil gol sumbangan Henrikh Mkhitaryan dan Alex Iwobi, sekaligus memadamkan jaringan awal Pedro dan Alvaro Morata.

Manchester City membolosi gawang Arsenal selepas 14 minit aksi pada minggu lalu dan Chelsea hanya memerlukan sembilan minit untuk berada di depan, selepas Pedro mudah menyempurnakan peluang di depan gol susulan hantaran daripada Alonso.

Selepas 20 minit, pendahuluan Chelsea terus bertambah apabila Morata melepasi halangan Shkodran Mustafi untuk melepaskan rembatan leret menewaskan Petr Cech, seminit selepas Pierre-Emerick Aubameyang yang beraksi selaku penyerang utama Arsenal melepaskan percubaan melewati palang.

Mkhitaryan melakukan percubaan mirip Aubameyang tetapi sepakan kaki kirinya tepat ke dalam gawang untuk merapatkan jurang, sebelum Iwobi menampan bola masuk hasil hantaran pemain Armenia itu sebelum waktu rehat.

The Blues dilihat berada dalam keadaan kucar-kacir dan pasti ketinggalan sekiranya percubaan Aubameyang dan Iwobi menepati sasaran, selepas mudah melepasi kawalan pertahanan Chelsea yang longgar.

Anak-anak buah Sarri tampak berpeluang untuk mencatat gol kemenangan pada babak akhir permainan dan mereka melakukannya pada minit ke-81, setelah Alonso menyempurnakan gerakan menarik pemain gantian, Hazard.




Untuk lebih banyak lagi berita sukan dan video, klik di sini