Dalam diam, Jalur Gemilang berkibar megah di bumi Jerman apabila skuad remaja negara mengungguli hadiah utama dalam kejohanan Terbuka Junior Jerman yang berakhir Ahad tempoh hari.

Alumni Astro Kem Badminton (AKB) kelahiran Kedah, Jacky Kok Jing Hong dinobatkan sebagai juara perseorangan lelaki apabila menundukkan cabaran wakil Indonesia, Alvi Wijaya Chairullah ’straight sets’ 21-15, 21-15 dalam hanya 25 minit.

Pada masa sama, gandingan seorang lagi Alumni AKB, Wan Arif Junaidi dengan Muhammad Haikal Nazri pula membalas dendam kekalahan dalam kejohanan Antarabangsa Junior Belanda minggu lalu dengan kemenangan di pentas final regu lelaki ke atas duo Indonesia, Muhammad Rayhan Nur Fadillah-Rahmat Hidayat dalam tiga set 13-21, 21-18 dan 21-16.

Secara keseluruhan, Malaysia merangkul empat pingat apabila dua lagi pingat gangsa disumbangkan Justin Hoh, dan juga dari gandingan Haikal-Low Yeen Yuan yang masing-masing terkandas di separuh akhir kategori perseorangan lelaki dan regu campuran.

Kontinjen remaja negara yang menggalas cabaran di Berlin pada 4 hingga 8 Mac tempoh hari.

Jacky dan Wan Arif menyertai AKB dalam kumpulan sama pada 2014, sementara Justin Hoh terpilih mengikuti program tersebut dua tahun kemudian. Mereka antara sembilan lagi Alumni AKB iaitu Valeree Siow Zi Xuan, Cheng Su Hui, Myisha Mohd Khairul, Goh Boon Zhe, Tan Zhing Yi, dan Muhd Fazriq Mohd Razif yang bersama memperkuat skuad 12 pemain remaja Malaysia yang berentap di Berlin pada 4 hingga 8 Mac lalu.

Astro Kem Badminton merupakan sebuah program kerjasama Astro Kasih, Kementerian Pendidikan Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Badminton Nippon (NBA).

Sejak dilancarkan pada 2012, AKB telah menyentuh lebih 16,000 kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun dalam pencarian bakat baharu sebagai pelapis skuad utama negara melalui beberapa siri program latihan komprehensif serta pengalaman permainan kompetetif di peringkat serantau dan antarabangsa.

Malah ketika ini, lebih 50 peratus iaitu 55 orang daripada keseluruhan 77 pemain dalam skuad remaja negara merupakan bekas pelatih AKB.