Bekas pemain kebangsaan Filipina Alvaro Silva, 33, menyatakan hasratnya untuk beraksi bersama skuad Helang Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2018.

Kenyataan Alvaro yang merupakan bekas pemain kelab Hanoi FC di Vietnam itu sekali gus menolak khabar angin sebelum ini kononnya beliau akan mewakili sebuah kelab di Thailand pada tahun depan.

"Saya dan keluarga sememangnya ingin menetap di Alor Setar kerana bandar ini merupakan tempat terbaik untuk kami sekeluarga," kata pemain tengah yang pernah beraksi dalam La Liga Sepanyol bersama kelab Malaga pada 2016 itu.

Alvaro menyatakan demikian menerusi kenyataannya yang dimuat naik dalam Facebook Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), semalam.

Alvaro yang pernah beraksi bersama pasukan Daejeon Citizen di Korea Selatan pada 2015, tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada 9.12 malam semalam dan disambut oleh beberapa pegawai KFA.

Alvaro pernah berlatih bersama skuad Helang Merah pada awal musim 2016 dan hampir didaftarkan dalam pasukan namun berlaku sedikit masalah teknikal membuatkan Kedah terpaksa melupakan khidmatnya.

Beliau dijangka mengisi kuota pemain import Asia bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain import tengah Zachary Anderson yang tidak disambung kontraknya untuk musim depan.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar yang ditemui, berkata beliau telah dimaklumkan mengenai kehadiran pemain import baharu tersebut bagi menjalani latihan sebelum penilaian akhir dibuat ketua jurulatih Kedah Ramon Marcote.

Katanya Kedah mempunyai tiga lagi kuota pemain import iaitu pemain import Asia, ASEAN dan Terbuka namun KFA menyerahkan pemilihan kepada ketua jurulatih untuk menguatkan pasukan tersebut bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2018 yang akan bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih pada 3 Feb depan.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pasukan bola sepak daerah Kubang Pasu yang menjuarai liga Piala Menteri Besar Kedah 2017 dengan menewaskan pasukan dari daerah Kuala Muda 4-1 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini.

Aminuddin berkata pasukan kedah kini mempunyai dua pemain import iaitu Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva Mendonca yang merupakan penggerak utama jentera serangan pasukan Kedah pada musim ini.

-- BERNAMA