Malaysia gagal mengutip tiga mata pertama dalam aksi sulung kejuaraan B-23 AFC 2018 di China selepas tewas 1-4 di tangan Iraq dalam perlawanan berlangsung di Stadium Changsu.

Gawang Malaysia bolos seawal minit ke-5 hasil tandukan kemas Mohammed Khalid Jaffal Al-Jumaili yang menerima hantaran silang dari sebelah kiri oleh rakan sepasukannya.

Masuk minit ke-28, Iraq menggandakan jaringan menerusi Amjad Attwan yang berjaya menghidu kealpaan pertahanan Malaysia.

Sambung babak kedua, Iraq terus menghukum pertahanan Malaysia dengan jaringan ketiga pada minit ke-56 selepas pemainnya, Alaa Ali Mhawi bijak melepasi perangkap ofsaid.

Malaysia bagaimanapun enggan mengalah dengan penguasaan Iraq dan akhirnya berjaya menyumbat gol sagu hati melalui jaringan Safawi Rasid pada minit ke-79.

Baki lapan minit perlawanan, Hussein Ali Al-Saedi menambah kedukaan Malaysia sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan 1-4.

Malaysia dijangka akan terus berdepan laluan sukar apabila dijadual bertemu Jordan 13 Januari ini sementara Arab Saudi pada 16 Januari.