PENYERANG sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo, menegaskan bahawa dia masih kekal berada di kemuncak prestasi dan mendakwa 'cemburu' adalah sebab kenapa ramai pihak tidak gembira dengan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) ketiganya.

Ronaldo gagal beraksi cemerlang sepanjang 120 minit ketika menentang Atletico Madrid dalam perlawanan akhir yang berlangsung di San Siro semalam apabila terlepas beberapa peluang, namun pemenang tiga kali Ballon d’Or itu mengambil tanggungjawab dengan menyempurnakan sepakan penalti kemenangan.

Real akhirnya berjaya membawa pulang trofi idaman dengan kemenangan 5-3 menerusi sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh permainan sebenar.

Ronaldo berkata: "Musim ini, saya adalah pemain nombor satu dalam pasukan. Saya masih bagus, saya masih berasa baik dari segi fizikal dan mental. Saya sekali lagi menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan itu (16 gol)."

Ronaldo yang berehat selama enam hari sebelum menyertai skuad Portugal menjelang Euro 2016, akan terlepas perlawanan persahabatan menentang England pada Khamis ini.

Dia berkata, negaranya akan bangga dan gembira dengan kejayaannya bersama kelab apabila muncul warga Portugal pertama memenangi UCL sebanyak tiga kali.

"Hanya orang cemburu yang tidak rasa. Tetapi saya tidak kisah. Saya selalu bersama dengan orang yang menyayangi saya. Jadi, UCL ini adalah untuk mereka, untuk orang yang selalu menyokong saya sepanjang masa, untuk peminat saya di Portugal dan seluruh dunia."

Ronaldo bersama Real Madrid mengadakan sambutan meraikan kejayaan UCL bersama peminat di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid, hari ini.

Zinedine Zidane menjadi individu pertama memenangi tiga kejuaraan UCL, sebagai pemain (2002), penolong jurulatih (2014) dan pengurus (2016) -- semuanya ketika berkhidmat di Real Madrid.

Real Madrid adalah kelab paling berjaya dalam UCL dengan mengumpul 11 gelaran, mendahului AC Milan (5 kali) dan Bayern Munich (5), Barcelona (5) dan Liverpool (5).