Berita  | Sukan

Anuar Abu Bakar meninggal dunia

Anuar Abu Bakar meninggal dunia
nuar, 48 tahun pernah membantu pasukan Selangor menjuarai Piala Liga Premier dan Piala Malaysia. - Foto Facebook/FAM
KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan dan lagenda bola sepak, Anuar Abu Bakar meninggal dunia pada malam Isnin, akibat menghidap kanser hati tahap empat.

Perkara itu disahkan menerusi satu posting di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi.

"Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Anuar Abu Bakar, 48, bekas pemain kebangsaan era 90-an yang telah menghembuskan nafas terakhirnya, malam ini.
"Allahyarham yang merupakan ketua jurulatih skuad Piala Presiden UiTM FC, sebelum ini telah disahkan menghidap kanser hati tahap empat.

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni dosanya. Al-Fatihah," kata kenyataan tersebut.

Anuar, 48 tahun pernah membantu pasukan Selangor menjuarai Piala Liga Premier dan Piala Malaysia.

Selain Selangor, Allahyarham juga pernah menyarung jersi Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan MPPJ.

Jawatan terakhir Anuar ialah sebagai jurulatih kelab bolasepak T-Team FC, dan sebelum itu pernah menjadi Penolong Jurulatih di PKNS FC.

Difahamkan jenazah Allahyarham akan berada di Hospital Shah Alam sehingga 7 pagi Selasa, dan dimandikan pada jam 8 pagi.

Solat jenazah akan dilangsungkan di Masjid Shah Alam jam 9.30 pagi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam.



Tag: Anuar Abu Bakar, meninggal dunia, bekas pemain bola sepak kebangsaan, lagenda bola sepak, kanser hati, Hospital Shah Alam


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.