ARGENTINA dilihat bergelut untuk mara ke Piala Dunia 2018, namun bagi penjaga gol, Willy Caballero, dia percaya pencapaian dalam beberapa edisi sebelum ini membuatkan mereka masih dihormati.

Lionel Messi mengesahkan tiket ke Russia buat Argentina menerusi jaringan hatrik sewaktu membenam Ecuador 3-1 dalam aksi terakhir peringkat kelayakan pada Oktober tahun lalu.

Pasukan gergasi Amerika Selatan itu merupakan juara dua kali Piala Dunia dan muncul naib juara dalam saingan empat tahun lalu, menewaskan Belgium dan Belanda di peringkat suku akhir dan separuh akhir, sebelum terpaksa akur dengan jaringan tunggal Mario Gotze dalam aksi final untuk memberikan kemenangan buat Jerman.

"Apabila saya menyaksikan undian Piala Dunia, saya tidak berada dalam pasukan kebangsaan dan tidak dinamakan tetapi suasana dalam bilik persalinan Chelsea sewaktu Argentina melayakkan diri menyatakan ia berbekalkan tuah dalam aksi terakhir.

"Mereka sudah mula berfikir secara berbeza. Argentina dihormati kerana Piala Dunia sebelum ini berdasarkan cara mereka beraksi dan bersaing. Itu membuatkan orang ramai menghormati kami," katanya.

Argentina bakal tampil di Russia tanpa kelibat penjaga gol utama, Sergio Romero, akibat kecederaan lutut dan Caballero tidak mahu terlalu memikirkan misi untuk merebut kekosongan itu daripada Franco Armani dan Nahuel Guzman.

"Saya rasa semua orang mahukannya tetapi tiada apa yang pasti selagi pengurus tidak melakukan pengumuman.

"Setiap hari, kami sentiasa bersaing."

Argentina bakal memulakan cabaran di Piala Dunia kali ini berdepan Iceland di Moscow pada Sabtu.