ARSENAL mara ke separuh akhir Liga Europa (UEL) dengan agregat 6-3 selepas berjaya mengikat CSKA Moscow di Rusia 2-2, awal pagi tadi.

Kelab London itu ke Moscow dengan kemenangan 4-1 di Stadium Emirates, terpaksa mengharungi perlawanan dengan cemas apabila pasukan tuan rumah mendapat dua gol menerusi Fedor Chalov pada minit ke-39 dan Kirill Nababkin, minit ke-50.

Bagaimanapun jaringan Danny Welbeck memastikan the Gunners kembali berada pada kedudukan selesa selepas menjaringkan gol di tempat lawan 15 minit sebelum permainan tamat.

Gol Aaron Ramsey dalam masa kecederaan melengkapkan kemenangan agregat 6-3 Arsenal ke atas CSKA.

Perlawanan lain menyaksikan RB Salzburg mengikuti jejak Arsenal mara ke separuh akhir selepas menumpaskan Lazio dengan agregat 6-5, Marseille mengatasi RB Leipzig dengan agregat 5-3 dan Atletico Madrid mara selepas mengalahkan Sporting Lisbon dengan agregat 2-1.