Berita  | Sukan

ASN 2017: Jun Hoong pilihan utama untuk Olahragawati Kebangsaan

ASN 2017: Jun Hoong pilihan utama untuk Olahragawati Kebangsaan
Jun Hoong diramalkan antara yang menjadi pilihan utama bagi anugerah kali ini. - Gambar fail
PEREBUTAN gelaran Olahragawati Kebangsaan dijangka sengit dengan juara dunia terjun 10m platform wanita, Cheong Jun Hoong, dijangka menjadi pilihan utama dalam majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2017 yang akan berlangsung di Hotel Hilton Kuala Lumpur, malam ini.

Selain Jun Hoong, atlet wanita yang dicalonkan untuk anugerah it, ialah pemain No. 2 skuasy negara, S. Sivasangari; pemenang pingat emas gimrama Sukan SEA 2017, Koi Sie Yan; jaguh berbasikal, Fatehah Mustapa; atlet boling padang, Emma Firyana Saroji, dan pemain boling, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Jun Hoong dari Perak, yang juga penyumbang pingat emas Sukan SEA 2017, mencipta sejarah muncul penerjun pertama Malaysia menjadi juara dunia dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary tahun lalu.
Walapun menjadi atlet pilihan merebut gelaran berprestij itu -- yang dimenangi tiga kali oleh rakan sepasukan, Pandelela Rinong -- saingan sengit dijangka daripada atlet boling, Siti Safiyah, yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 dalam acara lima berpasukan dan juga salah seorang pemain dalam pasukan wanita boling negara yang menggondol emas acara berpasukan wanita dalam Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas tahun lalu.

Tahun lalu, Anugerah Olahragawati Kebangsaan dimenangi oleh pesilat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Olahragawan Kebangsaan 2017 juga akan mencuri tumpuan di mana atlet berbasikal, Azizulhasni Awang, dan atlet bina badan, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah,, antara yang dicalonkan.

ASN memberi pengiktirafan kepada kejayaan atlet kebangsaan sejak kali pertama diadakan pada 1966.

Calon Anugerah Olahragawan:

1. Syarul Azman Mahen Abdullah (Angkat Berat)
2. Hakimi Ismail (Olahraga)
3. Azizulhasni Awang (Berbasikal)
4. Gavin Kyle Green (Golf)
5. Fitri Saari (Hoki)
6. Rafiq Ismail (Bowling)
7. Wong Weng Son (Wushu)
8. Khairul Hafiz Jantan (Olahraga)

Calon Anugerah Olahragawati:

1. S. Sivasangari (Skuasy)
2. Koi Sie Yan (Gimrama)
3. Fatehah Mustapa (Berbasikal)
4. Emma Firyani Saroji (Boling Padang)
5. Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (Boling)
6. Cheong Jun Hoong (Terjun)

Untuk lebih banyak lagi berita sukan dan video, klik di sini