Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dibina khas untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 untuk menyiarkan 28 jenis sukan secara komprehensif dan lengkap dalam audio/visual yang berkualiti tinggi.

Perancangan untuk membina dan menyediakan kemudahan ini mengambil masa lebih satu setengah tahun dan ia lengkap dibina dalam tempoh enam minggu.

Sebagai peneraju perkhidmatan produksi multilateral dan IBC kepada penyiar rasmi, Astro bekerjasama dengan International Partner (IGBS) untuk menyediakan teknologi dan sokongan kejuruteraan di IBC.

Uniknya untuk penyiaran Sukan SEA KL2017 berbanding temasya sukan yang lepas, Astro Arena menggunakan dua Horizontal Robotic TrackCams, satu di pusat akuatik dan satu lagi acara olahraga.

Four Point Cable Camera juga pertama kali digunakan untuk liputan Sukan SEA kali ini untuk mendapatkan pandangan dari atas gelanggang, yang dikenali sebagai ‘Flying Camera’.

Lebih banyak kamera berkelajuan tinggi digunakan kali ini berbanding temasya sukan yang lepas untuk mendapatkan lebih banyak ulangan dalam bentuk perlahan yang lebih lancar.


“Astro telah meletakkan satu penanda aras bagi kualiti penyiaran sukan seperti yang dimahukan penyiar-penyiar yang terlibat dalam temasya Sukan SEA ini,” kata pengurus besar Astro Arena, John Nienaber semasa mengendali lawatan media di IBC petang tadi.

538 kakitangan terlibat dalam penerbitan televisyen KL2017, termasuk petugas penyiar serantau di IBC.

Kerjasama semua pihak ini membolehkan Astro yang merupakan penyiar rasmi KL2017, menyediakan liputan langsung temasya ini secara komprehensif di 4 saluran definisi tinggi (HD) dan definisi standard (SD) di Astro TV dan NJOI TV.

Penonton juga boleh mendapatkan liputan di platform digital Astro menerusi lapan saluran khas untuk acara sukan secara langsung KL2017.

Sejak kewujudan Astro Arena sebagai satu-satunya saluran sukan 24 jam di Malaysia pada 2010, ia bukan sahaja menyediakan kandungan sukan tempatan bertaraf dunia kepada penonton tetapi ia juga telah menyokong pembangunan atlet negara dari pelbagai sudut.