Astro Kasih, cabang hal ehwal komuniti Kumpulan Astro akan menganjurkan Kejohanan Astro Junior peringkat kebangsaan pada 6 hingga 9 September ini di Stadium Juara, Kuala Lumpur.

Kejohanan ini dijangka menarik 32 pasukan badminton Malaysia dan menawarkan pasukan juara serta naib juara bertanding dengan kelab badminton terkemuka di rantau ASEAN.

Pertemuan pasukan juara dan naib juara dengan pasukan-pasukan rantau ASEAN ini akan berlangsung ketika Kejohanan Astro Invitational Junior (peringkat rantau) yang akan diadakan pada 12 hingga 15 Nov 2018.

Kejohanan pasukan campuran ini bakal menyaksikan penglibatan perseorangan lelaki dan perempuan serta beregu campuran dan ia terbuka kepada semua pemain badminton warganegara Malaysia yang berusia 15 tahun ke bawah.

Setiap pasukan perlu diwakili oleh Pengurus Pasukan dan disertai oleh sekurang-kurangnya lapan orang pemain atau tidak melebihi 10 orang pemain dalam jadual permainan.

Setiap pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini berpeluang untuk membawa pulang hadiah wang tunai sehingga RM14,000.

Kejohanan peringkat rantau yang akan diadakan di Malaysia pada November ini bakal menyaksikan dua finalis Kejohanan Astro Junior (peringkat kebangsaan) bersaing bersama 12 kelab badminton junior yang dijemput dari negara-negara ASEAN termasuk dari Jepun dan China.

Pendaftaran Kejohanan Astro Junior (peringkat kebangsaan) akan dibuka mulai 16 Julai ini di www.astrokasih.org/championships, dengan kadar bayaran sebanyak RM200 bagi setiap pasukan.

Kejohanan Astro Junior merupakan komitmen berterusan Astro dalam membantu membangunkan sukan badminton di kalangan anak muda menerusi program Astro Kem Badminton.

Sejak penubuhannya pada tahun 2012, Astro Kem Badminton telah memberi manfaat kepada lebih dari 15,000 peminat sukan badminton di Malaysia dan Indonesia.

Dari jumlah tersebut, seramai lebih dari 130 orang peserta telah diberi peluang untuk menjalani latihan intensif dan berdisiplin tinggi di negara Jepun dan China.

Kejohanan Astro Junior anjuran Astro Kasih mendapat kerjasama daripada Persatuan Badminton Malaysia, Badminton Asia, Kementerian Belia dan Sukan, dan Kementerian Pendidikan.