Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) sekali lagi mendapat hak eksklusif siaran perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Malaysia.

Hak eksklusif itu adalah bagi tempoh tiga tahun bermula musim 2016/2017 sehingga 2018/2019.

Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, berkata peminat setia bola sepak di Malaysia bakal merasai pengalaman istimewa menonton di barisan hadapan, menyaksikan pasukan kegemaran masing-masing beraksi.

"Ini kerana kesemua 380 perlawanan Liga Perdana Inggeris bagi setiap musim akan disiarkan secara langsung di saluran Astro dalam versi berdefinisi tinggi (HD) dan juga menerusi alat peranti mudah alih, Astro On The Go (AOTG)," kata beliau dalam satu kenyataan media dikeluarkan pada Khamis

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Liga Perdana, Richard Scudamore berkata beliau amat berbesar hati apabila Astro sekali lagi memilih untuk melabur dalam memiliki hak penyiaran Liga Perdana Inggeris di Malaysia.

Scudamore berkata pihaknya percaya, tahap kualiti produksi Astro yang tinggi adalah faktor utama peningkatan populariti Liga Perdana di Malaysia dan berharap kerjasama bersama Astro ini akan dapat diteruskan.

Selain EPL, Astro juga bakal menyiarkan acara sukan terkemuka lain seperti UEFA EURO 2016, Sukan Olimpik Rio, Piala Thomas dan Uber Cup 2016 menerusi saluran Astro dan AOTG.