Para atlet negara dinasihatkan supaya segera tampil mengisytihar cukai pendapatan sebenar mereka sebelum 30 Sept ini kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

Ia terutamanya melibatkan atlet profesional seperti pemain bola sepak dan pasukan yang mempunyai dua kontrak, yang bertujuan untuk penipuan cukai.

Pengarah Bahagian Komunikasi LHDN, Syarein Abu Samah berkata menerusi program itu, pihak yang mempunyai permasalahan cukai hanya akan dikenakan penalti rendah, sehingga 10 dan 15 peratus.

"Aktiviti ini merupakan kesalahan dan dikategorikan di bawah Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, iaitu membuat suatu penyata yang tidak betul dengan meninggalkan atau mengasingkan apa-apa pendapatanb yang dikehendaki oleh Akta ini untuk membuat pulangan bagi pihak dirinya atau orang lain.

"LHDN memandang serius aktiviti seperti ini dan berharap pihak-pihak berkenaan membetulkan amalan salah sebelum ini dengan mengambil peluang menyertai PKPS yang sedang giat ditawarkan ini," katanya kepada Bernama menerusi jawapan bertulis baru-baru ini.

Beliau berkata menerusi PKPS, isu percukaian sedemikian dapat diselesaikan dan cukai terkurang akibat dari aktiviti itu akan ditawarkan dengan penalti yang sangat rendah.

Awal bulan lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah memberitahu Dewan Rakyat bahawa, LHDN menerima sejumlah 486,360 kes pengakuan sukarela pembayar cukai yang menyertai PKPS sehingga 23 Jun lepas, sejak program itu dimulakan pada 3 Nov lalu.

-- BERNAMA