SEORANG atlet olahraga negara yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Myanmar 2013 terlepas hukuman penggantungan kes doping apabila Persekutuan Sukan SEA (SGF) menggugurkan dakwaan ke atasnya.

Penganjur Sukan SEA Myanmar 2013 mengesan bahan jenis steroid dalam sampel air kencing atlet terbabit, namun terdapat kesilapan teknikal ketika ujian dijalankan, sekali gus SGF menggugurkan dakwaan ke atasnya.

"Kerana perkara-perkara tertentu, WADA (Agensi Anti Doping Dunia) memberi keputusan bahawa tiada tindakan ke atas atlet itu.

"Kesilapan daripada prosedur bukan salah atlet . Kalau prosedur tidak betul, jadi kami tidak boleh ambil tindakan. Sekarang kami sudah bincang prosedur apa yang kami patut ikuti," kata Pengerusi Jawatankuasa Perubatan SGF, Datuk Dr. S S Cheema, hari ini.

Atlet terbabit antara yang paling menyinar ketika membantu Malaysia meraih tangga kelima keseluruhan Sukan Sea Myanmar 2013. Ketika itu, Malaysia mengumpul 43 emas 38 perak 77 gangsa.

Sementara itu, hari pertama mesyuarat SGF di ibu kota menyaksikan majoriti delegasi SGF bersetuju dengan cadangan Malaysia menganjurkan 38 jenis sukan untuk Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. Ia termasuk pemilihan empat sukan baharu iaitu triatlon, lawan pedang, muay dan judo.