Kontinjen paralimpik negara yang tiba di Rio de Janeiro, Brazil semalam, tidak ketinggalan meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-59 hari ini.

Menurut laman Facebook Majlis Sukan Negara (MSN), sambutan ringkas itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan diikuti laungan keramat "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" di hadapan hotel penginapan sementara mereka.

Sesi motivasi pagi itu dikendalikan Pengarah Bahagian Paralimpik MSN, Mohd Safrushahar Yusof dan Pengarah Bahagian Sains Sukan Institut Sukan Negara (ISN) Dr P. Vellapandian.

Kesemua atlet dan jurulatih turut melakukan aktiviti regangan dan bersiar-siar sekitar hotel pagi tadi, sebelum bertolak ke Perkampungan Sukan yang dibuka secara rasmi hari ini.

"Biarpun terpaksa melalui perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Rio de Janeiro, mereka jelas teruja dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan untuk mencapai misi yang ditetapkan," kata entri terkini di laman Facebook berkenaan.

Seramai 21 atlet bakal membawa cabaran negara pada Sukan Paralimpik kali ini, dengan misi memburu pingat emas pertama dalam temasya sukan terbesar untuk atlet kelainan upaya itu.

Kesemua atlet berada di tahap memuaskan dan bebas daripada kecederaan.