Bagi memastikan atlet negara berada pada prestasi terbaik sebelum menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur yang bermula 14 Ogos ini, Institut Sukan Negara (ISN) mewujudkan Pusat Prestasi TEAMMAS di Hotel Renaissance di sini.

Ketua Pusat Sains Sukan ISN, Mohd Qusyairy Ajmain Mohd Amin berkata pusat berkenaan yang menempatkan 40 orang staf ISN menyediakan pelbagai kemudahan seolah-olah atlet negara berada di rumah sendiri.

Antara kemudahan yang disediakan ialah khidmat dandanan, solekan dan spa, makanan dan minuman serta bantuan sains sukan dan perkhidmatan perubatan.

"Kita menyediakan perkhidmatan ini bagi memastikan atlet merasai nikmat seperti berada di rumah sendiri selain memastikan atlet negara berada dalam prestasi terbaik sebelum beraksi pada Sukan SEA nanti.

"Kita juga turut menyediakan khidmat psikologi sukan kerana kita tahu atlet yang bertanding pada Sukan SEA nanti akan mengalami kebimbangan dan kita akan cuba mengurangkan kebimbangan itu dengan membawa masuk beberapa orang ahli psikologi sukan," katanya.

Mohd Qusyairy Ajmain memaklumkan ISN turut menyediakan khidmat yang sama kepada atlet negara yang menginap di beberapa hotel lain yang terletak berhampiran dengan venue pertandingan Sukan SEA, namun pada skala kecil berbanding di Hotel Renaissance.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Perubatan Sukan ISN, Dr Arshad Puji menasihatkan atlet negara supaya mengambil langkah berhati-hati dalam mengurangkan risiko kecederaan dengan baki kurang dua minggu sebelum bermulanya Sukan SEA.

"Atlet itu harus menjadi atlet berfikir di mana mereka boleh berfikir dengan matang bagi mencegah risiko kecederaan dan menjaga kesihatan kerana tekanan semestinya akan meningkat memandangkan Sukan SEA akan berlangsung tidak lama lagi," katanya.

Dr Arshad pada masa sama turut menasihatkan atlet negara untuk tidak membeli ubatan luar sebaliknya mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor ISN bagi mengelakkan mereka gagal dalam ujian doping yang dijalankan semasa berlangsungnya Sukan SEA nanti.

Terdahulu beberapa petugas media dibawa melawat pusat berkenaan yang terletak di dalam Hotel Renaissance yang merupakan tempat penginapan rasmi kontinjen negara pada Sukan SEA kali ini.

Acara bola sepak akan membuka tirai Sukan SEA 2017 pada 14 Ogos ini, disusuli upacara pembukaan rasmi dan penutupan masing-masing pada 19 dan 30 Ogos.

-- BERNAMA