Atlet Veteran Malaysia hari ini diberi peluang untuk melawat kemudahan baharu di Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil sebagai tanda penghargaan kepada pencapaian dan sumbangan mereka.

Dianjurkan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bersempena Sukan SEA 2017, lawatan ini bertujuan memberi peluang kepada atlet veteran negara untuk melihat sendiri venue sukan dan mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan kemudahan sukan tanah air.

Hampir 28 atlet veteran sukan Malaysia yang menghadiri lawatan ini, termasuk Tan Sri Dr M Jegathesan (olahraga), Datuk R Yogeswaran (hoki), Datuk James Selvaraj (badminton),Ng Kah Liew, Datuk Rabuan Pit (olahraga), Norseela Abd Majid dan Afrita Arniany.

Mereka dibawa ke Stadium Nasional, Axiata Arena, Stadium Hoki Malaysia dan Pusat Akuatik Nasional.

Difahamkan, pembinaan kemudahan baharu ini selesai hampir 90 peratus.

Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim merakamkan penghargaan kepada atlet veteran negara.

"Pencapaian yang diraih oleh atlet veteran negara bukan sahaja mencerminkan kehandalan bersaing mereka, malah himpunan kebijaksanaan dan pengetahuan mereka merupakan sumbangan yang tiada bandingannya kepada pembangunan kemudahan sukan bertaraf dunia di Malaysia."

Veteran olahraga Tan Sri Dr. M. Jegathesan berkata beliau cukup tertarik dengan kemudahan sukan baharu ini.

''Kami agak tertarik dengan pembaharuan ini. Saya boleh katakan kemudahan baharu ini cukup bertaraf dunia. Reka bentuk sungguh menakjubkan."

Beliau juga berharap orang ramai akan membanjiri stadium untuk temasya sukan SEA yang berlangsung mulai 19 Ogos bulan depan bagi memberi semangat patriotik kepada atlet negara yang akan bersaing.

"Tidak ada guna kalau stadium cantik tapi tak ada sokongan patriotik untuk atlet kita.

"Mereka memerlukan sorakkan dan sokongan untuk melakukan yang terbaik," kata Jegathesan kepada pihak media ketika ditemu bual.

Presiden Persatuan Olimpian Malaysia, Karu Selvaratnam turut melahirkan rasa puas hati terhadap kemudahan bertahap dunia ini.

''Kami berasa amat gembira dengan usaha yang disumbangkan oleh MRCB kepada kemajuan kemudahan sukan di Malaysia.

"Ketersedian aset-aset ini kepada para atlet negara memberi makna bahawa masa depan pembangunan sukan di Malaysia adalah amat terjamin."

Oktober lalu, MRCB dipilih oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek KL Sports City.

Kompleks sukan baharu ini dibina di sekitar penjanaan semula Stadium Nasional Bukit Jalil.

MRCB ialah pemaju harta tanah dan infrastruktur bandar utama di Malaysia.