Ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe berharap aura Stadium Nasional Bukit Jalil akan memberi tuah kepada skuad Harimau Malaya ketika beraksi dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan depan.

Beliau berkata skuad kebangsaan juga mempunyai rekod pencapaian yang baik di stadium keramat itu dan keputusan untuk menjadikannya venue rasmi pertandingan dengan dikenali sebagai 'Rumah Harimau Malaya' adalah satu yang tepat.

"Saya rasa penghormatan ini menjadi satu motivasi tinggi kepada para pemain. Saya berterima kasih kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) yang menjadikan stadium ini sebagai Harimau Malaya," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara FAM dan PSM di Stadium Nasional, di sini pada Khamis.

Perjanjian itu sah sehingga 31 Disember 2020 itu akan menyaksikan semua perlawanan tempat sendiri Harimau Malaya sepan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala Suzuki AFF 2020 akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd, mewakili badan induk bola sepak negara itu manakala PSM oleh pengerusinya, Tan Sri Tony Fernandes.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata masalah padang tidak boleh dijadikan alasan kepada kegagalan pemain mempamerkan aksi terbaik mereka, kerana keadaan 'kurang baik' itu boleh dialami di mana-mana sahaja venue pertandingan, bukan hanya di Malaysia.

Tambahnya, sebagai jurulatih adalah menjadi keutamaan dan penilaian adalah prestasi para pemain yang perlu menunjukkan peningkatan setiap perlawanan satu demi satu.

"Saya mengadakan perbincangan singkat dengan Tan Sri Tony Fernandes berhubung jenis rumput yang sesuai untuk padang di stadium berkenaan, misalnya seperti di Indonesia dan Thailand dan beliau menyebut mereka mempunyai kepakaran untuk memilih jenis rumput yang sesuai.

"Ini adalah tanda positif dan berharap dapat kualiti padang yang terbaik," katanya.

Perjanjian berkenaan turut boleh dilanjutkan untuk tempoh tambahan dua tahun lagi iaitu dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022, jika mencapai persetujuan bersama daripada kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun mengikut perjanjian itu, skuad Harimau Malaya dibenarkan untuk beraksi di stadium-stadium lain di seluruh negara jika ia hanya membabitkan perlawanan persahabatan.

Dalam perkembangan lain, Cheng Hoe berkata, senarai pemain yang akan dipanggil menyertai kem latihan skuad negara untuk persediaan Kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2023 akan dikeluarkan selepas tamat saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia minggu ini.

Skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam dua perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil iaitu bertemu Jordan bagi perlawanan antarabangsa pada 30 Ogos ini dan perlawanan kedua Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE pada 10 Sept ini.

Skuad Harimau Malaya bakal membuka kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 Sept ini.

-- BERNAMA