PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan penyerang pasukan itu, Roberto Firmino cergas sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan menentang Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi Ahad.

Penyerang antarabangsa Brazil itu mengalami kecederaan otot dan kali terakhir membuat penampilan untuk Liverpool adalah semasa masuk sebagai pemain gantian menentang Barcelona di separuh akhir, Mei lalu.

Namun seperti pengurus bola sepak yang lain, Klopp tidak akan mengumumkan kesebelasan utama yang akan diturunkan pada perlawanan itu.

“Ya dia (Firmino) bersedia, jika Poch (pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino) memberitahu senarai nama kesebelasan utamanya kepada kamu (media) sila telefon saya dan saya akan beritahu kamu semua barisan pemain saya juga,” kata Klopp kepada wartawan pada sidang media di venue final, Estadio Metropolitano di Madrid.

Hanya Naby Keita masih belum pulih daripada kecederaan paha bagi skuad Liverpool.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut Liverpool layak ke final UCL, selepas tewas 3-1 kepada Real Madrid di Kiev Mei tahun lepas.

Selepas tewas tiga final sebagai pengendali Liverpool sejak menjadi pengurus the Reds pada 2015, Klopp menganggap tahun ini dia mempunyai skuad yang amat berbeza.

“Tahun lepas kami tewas sebab satu gol ajaib dan dua gol pelik yang biasanya tidak masuk ke dalam gawang.

“Setakat ini, bukan nasib yang menentukan kerjaya saya. Saya tidak mempunyai masalah dengan kerjaya saya. Isteri saya sentiasa bertanya kepada saya bila perlawanan terakhir setiap musim sejak 2012, kecuali pada 2017, pasukan yang saya bimbing semua layak ke final,” kata Klopp.

Liverpool pernah memenangi kejuaraan Eropah ini sebanyak lima kali, manakala Tottenham mara ke pentas final buat kali pertama dalam sejarah pasukan itu.

Dalam sembilan pertemuan Liverpool di bawah bimbingan Klopp dengan Tottenham, the Reds hanya tewas sekali dengan keputusan lain menyaskikan empat kemenangan dan empat seri.

Liverpool akan menentang Tottenham di Madrid pada 2 Jun, 3 pagi dan anda boleh saksikan perlawanan itu secara langsung di Astro, saluran 841 beIN Sports Max.