Ujian sebenar jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bakal diuji apabila menentang pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark pada suku akhir Kejohanan Terbuka Malaysia 2018 di sini hari ini.

Chong Wei mudah mara ke pusingan suku akhir apabila hanya mengambil masa 29 minit untuk menewaskan pemain berpengalaman, Lee Hyun Il dari Korea Selatan 21-7, 21-7 pada pusingan kedua di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.

Dalam aksi terdahulu, Axelsen terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk, 23-21, 19-21, 21-11 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Chong Wei berkata beliau tetap berazam menambah koleksi kejuaraannya itu buat kali ke-12 terutamanya di halaman sendiri dan bersedia memberikan tentangan sengit kepada Axelsen.

"Ramai bertanyakan kepada saya, kenapa masih mahu memenangi kejohanan ini sedangkan saya sudah menjuarainya sebanyak 11 kali, bagi saya Kejohanan Terbuka Malaysia sangat penting dan saya masih bersemangat untuk menang.

"Axelsen kini pemain nombor satu dunia, bagi saya tiada apa yang dirisaukan dan saya akan berikan tentangan sengit pada perlawanan esok. Terbuka Malaysia kali ini lebih berbeza, standard lebih tinggi berbanding dulu," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Untuk rekod pertemuan, Chong Wei mempunyai kelebihan iaitu memenangi 10 perlawanan dalam 13 pertemuan dengan Axelsen.

Mengenai perlawanan semalam, Chong Wei memuji Hyun Il walaupun sudah berusia 38 tahun masih mempunyai semangat untuk beraksi dan menyifatkan pemain berpengalaman itu merupakan seorang pemain yang hebat.

"Kali terakhir saya menentang beliau pada 2012 di All England, memang nampak permainan hari ini mudah tetapi bagi saya dengan siapa saya bertemu, paling penting adalah fokus untuk mendapatkan mata kemenangan.

"Hyun Il adalah pemain lebih senior daripada saya, beliau tetap memberikan hantaran yang bagus dan mempunyai semangat di gelanggang. Sebelum saya turun ke gelanggang, saya hanya fikir beliau merupakan pemain yang hebat dan susah untuk dikalahkan," katanya.

Sementara itu, musuh tradisi, Lin Dan dari China tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada rakan sepasukan Shi Yuqi dengan 19-21, 12-21.

Dalam pada itu, pemain Jepun, Kento Momota meraih kemenangan mudah apabila pemain nombor dua dunia Son Wan Ho dari Korea Selatan menarik diri daripada perlawanan ketika Momota mendahului 21-11, 0-1.

-- BERNAMA