Kelab bola sepak amatur, Axis-O2 PJ FC muncul juara liga komuniti Selangor Champions League 2017 (SCL) selepas menewaskan PIB FC pada final yang berlangsung di Stadium Shah Alam semalam.

Axis-O2 menang dengan keputusan 4-1 dalam penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1 selepas 90 minit masa perlawanan tamat.

Dalam perlawanan semalam, PIB terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Khairul Anuar Abdul Rahim ke-25 namun Axis-O2 bangkit semula dengan gol penyamaan menerusi sepakan percuma Muhammad Farhan Khairul Anuar dalam babak kedua.

Penentuan sepakan penalti menyaksikan penjaga gol Axis-O2, Mohd Noor Azrin Adnan muncul wira pasukan.

Azrin menyelamatkan penalti pertama pemain PIB, Mamadou Berete sebelum sepakan Khairul Anuar tersasar untuk memastikan Axis-O2 berada 2-0 di hadapan.

Sepakan Lukhman Noor memastikan Axis-02 muncul juara dengan keputusan 4-1.

Axis-O2 membawa pulang wang tunai RM13,000 selaku juara namun lebih penting lagi mendapat slot untuk bersaing dalam Piala FA musim depan mewakili pasukan juara liga komuniti.

Trofi dan hadiah disampaikan penaung SCL, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharifuddin.

Dalam pada itu, pengurus Axis-O2, Mohd Shaifulnizam berbangga dengan semangat tidak mengalah yang dipamerkan anak buahnya dalam perlawanan tersebut.

“PIB bukan lawan yang mudah, kita kalah kepada PIB FC dalam peringkat kumpulan. Semangat tidak mengalah menyebabkan kita menang hari ini,” kata Shaifulnizam.

Bagi menempuh saingan Piala FA, Shaifulnizam memberitahu pasukannya belum ada sebarang perancangan lagi dan akan memberi masa kepada pemain-pemain untuk berehat dan raikan kejayaan terlebih dahulu.