Melihat kemampuan beliau memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2017 (UCI) Khamis lalu, jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang bersedia untuk menilai semula modul latihannya bagi memastikan lebih banyak kejayaan mampu dicapainya di masa hadapan.

Pada masa yang sama, selepas kejayaan di Hong Kong itu, sasaran seterusnya adalah bagi bagi meraih pingat emas Olimpik 2020 di Tokyo.

"Sememangnya menjadi juara dunia adalah impian saya dan sehingga sekarang macam tidak percaya saya sudah berjaya mendapatkannya.

"Bagaimanapun, menang juara dunia bukanlah masa untuk saya leka...lebih banyak kita capai, kita perlu lebih banyak kerja keras untuk mengekalkannya. Sayai jenis orang yang tidak mudah mengalah. Sasaran utama saya kini ialah Sukan Olimpik 2020," katanya pada sidang akhbar sejurus tiba dari Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini malam ini.

Kata Mohd Azizuhasni lagi, jurulatih John Beasley akan pasti membuat perancangan program latihannya menjelang temasya Olimpik Jepun.

"Perancangan latihan adalah bagi menghadapi Sukan Olimpik. Untuk kejohanan dunia atau lain-lain kejohanan juga tidak kurang pentingnya tapi mungkin menjimatkan tenaga bagi digunakan secara optimum untuk Olimpik Tokyo 2020."

Selain dari Olimpik, pastinya Mohd Azizulhasni ingin memberikan yang terbaik untuk Sukan SEA Kuala Lumpur akan datang.

"Saya mahu memberikan persembahan terbaik di laman sendiri. Ini Sukan SEA di Malaysia dan yang pertama buat saya," katanya.

Menyentuh mengenai Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan, Mohd Azizulhasni berkata beliau berkemungkinan menguji trek velodrom itu esok (Isnin), atau dalam tempoh semasa beliau berada di Malaysia.

"Semasa di Kejohanan Dunia itu, ramai rakan yang bertanyakan mengenai velodrom baharu di Malaysia. Malahan pasukan Kanada telah menunjukkan minat untuk menggunakan kemudahan Velodrom Nasional sebagai kem latihan mereka. Ini satu penghargaan buat Malaysia," katanya.

Pada Khamis Mohd Azizulhasni muncul juara keirin Kejohanan Dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas menanti selama 10 tahun.

Ia adalah kejayaan selepas dia meraih dua perak dan dua gangsa dalam percubaan lalu.

Beliau yang mendapat jolokan 'The Pocket Rocketman' menghadapi tentangan sengit daripada lima pelumba lain sebelum mencecah garisan penamat untuk meraih pingat emas dalam acara keirin.