Azlan Shah Kamaruzaman gagal mempertahankan gelaran keseluruhan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) yang dimenangi pada musim lepas.

Juara keseluruhan menjadi milik pelumba Thailand, Ratthapong Wilairot selepas tamat pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu perlu memenangi Perlumbaan 2 untuk muncul juara keseluruhan bagaimanapun kecewa apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan masa keseluruhan 30 minit 06.927 saat di belakang Ratthapong.

Ratthapong memenangi Perlumbaan 2 dengan masa keseluruhan 30 minit 00.360 saat, sekaligus mengesahkan gelaran keseluruhan menjadi miliknya.

Kali terakhir pelumba Thailand memenangi gelaran itu adalah pada 2010, melalui rakan sepasukan Ratthapong, Decha Kraisart.

Decha turut menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan masa 30 minit 00.701 saat, diikuti rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira ketiga dengan masa 30 minit 03.412 saat.

Penamat di tempat kelima menyaksikan Azlan menamatkan musim 2018 di kedudukan keempat keseluruhan dengan mengumpul 123 mata.

“Minggu ini begitu mengecewakan saya. Saya mahu menamatkan musim terakhir dalam kategori ini di kedudukan teratas namun gagal,” jelas Azlan yang akan beralih ke kategori ASB1000cc pada musim 2019.

“Saya sudah mencuba yang terbaik namun keupayaan jentera yang tidak berada pada tahap maksimum menyaksikan saya gagal untuk mengejar pelumba di hadapan. Walaubagaimanapun, musim ini sudah tamat dan saya perlu bersedia untuk musim 2019.” tambah Azlan.

Ratthapong di kedudukan teratas dengan 141 mata diikuti Anthony West kedua, 136 mata manakala Yudhistira di kedudukan ketiga dengan 131 mata.

Keputusan Perlumbaan 2 SuperSports 600cc

1 Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 30’00.360s
2 Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 30’00.701ss
3 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30’03.412s
4 Tomoyoshi Koyama (JPN) Musashi Boon Siew Honda Racing 30’03.412s
5 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30’06.927s

Kedudukan Keseluruhan

1 Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 141 mata
2 Anthony West (AUS) Webike IKAZUCHI Racing 136 mata
3 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 131 mata
4 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 123 mata
5 Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team 117 mata

Kedudukan Keseluruhan Berpasukan

1 Webike IKAZUCHI Racing 162 mata
2 Manual Tech KYT Kawasaki Racing 162 mata
3 YAMAHA Thailand Racing TEAM 160 mata
4 Musashi Boon Siew Honda 144 mata
5 Yamaha Racing Asean 120 mata