ATLET angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, menjadikan kejayaan di pentas Kejohanan Angkat Berat Asia di Ningbo, China sebagai pemangkin dirinya mempamerkan angkatan lebih baik dalam Kejohanan Dunia di Thailand, September depan.

Kembali tampil beraksi buat kali pertama sejak penggantungan atlet angkat berat negara ekoran masalah doping, Azroy pulang dengan kejayaan meraih dua pingat perak dan satu gangsa dari China.

Menyedari saingan di pentas Asia amat sukar, Azroy berbangga dengan kejayaannya dan berharap untuk mempamerkan angkatan yang lebih cemerlang.

"Sukar untuk meluahkan perasaan ini. Ini merupakan kali pertama saya berjaya meraih kejayaan di pentas Asia dan saya mengikut jejak langkah idola saya, Amirul Hamizan Ibrahim," katanya.

"Saingan di peringkat Asia sangat kompetitif, sukar untuk menjangka dan kejayaan ini merupakan satu bonus bagi saya."

Kategori 56 kilogram yang disertai Azroy tidak akan disertakan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun atlet kelahiran Pahang itu kekal positif dan meletakkan Kejohanan Dunia sebagai medan terbaiknya mengharumkan nama negara.

"Ketiadaan kategori saya dalam Sukan Olimpik tidak mematahkan semangat saya kerana Kejohanan Dunia di Thailand adalah misi seterusnya. Saya mahu menjadi atlet pertama negara menyumbang pingat dalam kejohanan ini.

"Saya juga berharap rakan sepasukan, Aznil Bidin, yang beraksi dalam kategori 62kg, menggunakan peluang sebaik mungkin untuk mengumpul mata kelayakan bagi menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020."