Selepas kejayaan atlet negara meraih 145 pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kini giliran atlet paralimpik pula berentap dalam Sukan PARA Asean 2017 yang bakal berlangsung dari 17 hingga 23 September ini.

Kehangatan temasya itu kini mula dirasai apabila sebahagian besar atlet yang bakal mengambil bahagian tiba di Malaysia sejak pagi tadi.

Didahului oleh kontinjen paralimpik Singapura yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 11.15 minit pagi tadi, diikuti kontinjen Filipina, dan seterusnya atlet paralimpik dari 11 negara lain yang bertanding.

Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia MASOC, Datuk Zolkaples Embong, pegawai serta sebahagian sukarelawan temasya kali ini menyambut ketibaan kumpulan delegasi ini.

Menurut Zolkaples, persiapan rapi telahpun dilakukan oleh MASOC dalam memastikan kelancaran kejohanan itu nanti dengan menjanjikan kemeriahan yang tidak kurang hebatnya berbanding Sukan KL 2017 yang berakhir baru-baru ini.

"Walaupun skala kejohanan ini sedikit kecil berbanding Sukan SEA yang baharu berakhir, kita tidak memandang mudah penganjuran Kejohanan Para Asean ini. Kita telah melakukan persiapan rapi daripada semua aspek baik logistik, venue dan juga sukarelawan.

"Bagi upacara perasmian dan penutup MASOC tetap menjanjikan yang terbaik, insya-Allah".

Bagi kejohanan kali ini, lebih 1,400 atlet Paralimpik dijangka akan mengambil bahagian dalam 368 acara daripada 16 jenis sukan yang dipertandingkan.