Penyerang Itali, Mario Balotelli bergurau minta dicium oleh Ratu Elizabeth II kalau pasukannya menyelamatkan peluang England dalam Piala Dunia dengan mengalahkan Costa Rica.

England tunduk kepada Uruguay 2-1 awal pagi Jumaat di Sao Paulo. Kekalahan itu menghantar pasukan tersebut di ambang jalan pulang. England memerlukan Costa Rica kalah kepada Itali awal pagi Sabtu untuk menghidupkan peluang layak ke pusingan kedua.

Balotelli bergurau seperti itu melalui akaun Twitternya yang mempunyai lebih 2.3 juta pengikut tidak lama selepas perlawanan England-Uruguay tamat.


Balotelli, yang bermain selama dua tahun setengah dengan Manchester City sebelum ini membantutkan langkah England untuk mara dalam Kumpulan D. Golnya membawa Itali menang 2-1 ketika kedua-dua pasukan itu bertemu pada Ahad lepas.