Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghormati keputusan pemain beregu remaja wanita negara Toh Ee Wei untuk tidak kembali ke kem latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) buat masa ini.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choon Hann berkata tidak adil jika BAM mendesak dengan menetapkan jangka masa tertentu untuk beliau kembali berlatih sedangkan keadaan mental dan fizikalnya belum bersedia untuk berbuat demikian.

"Status terkini setakat hari ini, dia tidak akan kembali ke BAM untuk sementara dan ini kehendak beliau sendiri yang perlukan lebih masa untuk persiapkan diri sebelum kembali cergas dan bersedia secara mental. Kami di BAM merestuinya.

"Beliau masih muda dan memerlukan sedikit masa, kami akan beri. Sekiranya kami meletakkan tempoh masa misalnya kami memberikan beliau kata dua sekiranya beliau tidak kembali dalam masa dua minggu, beliau akan gagal selamanya. Itu tidak adil buatnya.

"Tetapi saya juga berharap orang lain boleh adil kepada BAM kerana kami (BAM) di sini untuk berkhidmat kepada semua orang tetapi kami tidak boleh mengharamkan diri kami untuk mana-mana individu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil2/2019 untuk sukan badminton di sini pada Isnin.

Choon Hann berkata BAM telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu mana-mana pemain termasuk pemain kelahiran Melaka itu, namun ia terserah kepada keputusan pemain berkenaan untuk memilih masa depan karier mereka dalam sukan badminton.

Pemain berusia 18 tahun itu sebelum ini dilaporkan tidak menghadirkan diri ke kem latihan BAM pada 7 Mei kerana belum bersedia sepenuhnya untuk berbuat demikian setelah berehat panjang selepas menjalani pembedahan hidung akibat sinus yang kronik.

Namun, Toh hadir ke ABM pada 10 Mei selepas menerima e-mel daripada badan induk itu yang memintanya melapor diri selepas gagal berbuat demikian sebelumnya.

Berdasarkan e-mel itu, BAM tidak akan membenarkan beliau menyertai sebarang kejohanan antarabangsa sekiranya tidak melapor diri pada hari tersebut.

Untuk rekod, gandingan Toh-Pearly Tan berjaya muncul naib juara Kejohanan Badminton Remaja Asia dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kanada, pada Julai dan November tahun lepas.

Rentetan kejayaan itu, mereka ditawarkan tempat dalam kem senior namun Toh terpaksa menarik diri selepas menjalani pembedahan hidung kerana sinus kronik pada Disember lepas dan memerlukan rehat panjang.

-- BERNAMA