Temasya Sukan SEA ke-29 kembali semula ke Stadium Nasional Bukit Jalil selepas 16 tahun dalam suasana gilang gemilang dan penuh berwarna -warni tatkala Kuala Lumpur menyambut 4,900 atlet terbaik dalam pelbagai acara sukan terbesar di Asia Tenggara.

Upacara perasmian bermula dengan pertunjukkan bunga api yang memukau serta perarakan masuk kontinjen mengikut susunan abjad didahului dengan Brunei dan sorakan penonton bergema sebaik sahaja kelibat kontinjen Malaysia terakhir melangkah masuk ke stadium dengan tiga atlet kelas dunia berada di barisan hadapan.

Tiga atlet tersohor negara, juara berbasikal keirin dunia, Azizulhasni Awang, ratu terjun dunia, Cheong Jun Hoong dan jaguh silat dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari mendahului perbarisan negara dengan membawa Jalur Gemilang.

Sebanyak 90,000 penonton yang membanjiri stadium sejak petang tadi tidak melepaskan peluang untuk merakamkan upacara pembukaan yang memaparkan elemen-elemen menarik dengan telefon bimbit dan kamera masing-masing dalam suasana meriah dan keadaan cuaca yang baik.

Malaysia, yang menyasarkan 111 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), setakat hari ini mendahului saingan pungutan pingat dengan tujuh emas dalam saingan yang menawarkan 404 pingat emas daripada 38 jenis sukan.

Upacara yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan bermula seawal 6 petang dengan acara persembahan hiburan, antaranya, persembahan pancaragam sekolah serta aksi khas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta dif-dif kehormat daripada negara peserta dan perwakilan asing.