“Mentaliti sang juara”

Itulah gambaran sikap Dineshwaran Krishnan, pemain ragbi Malaysia yang berkelana di Jepun, kini merupakan bintang dalam arena ragbi negara dan juga Asia.

“Saya selalu beranggapan, saya adalah idola kepada pemain-pemain muda. Oleh itu, saya perlu tunjukkan kepada mereka yang kita perlu bangkit selepas kecederaan yang teruk,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menjadikan bekas kapten kebangsaan, Fairuz Rahman sebagai idola, beliau turut ingin kembali semula bersama skuad kebangsaan sebaik pulih daripada kecederaan.

“Fairuz Rahman pernah dinasihatkan doktor untuk berhenti bermain kerana kecederaan yang teruk. Tetapi beliau bangkit dan tahun lepas, beliau menjadi kapten pasukan negara.”

“Oleh itu, tak mungkin saya yang patah tangan ini akan putus asa dengan mudah,” jelas beliau yang memulakan karier ragbi bersama sebuah kelab di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, BM Rhinos.

Beliau berbangga menjadi sebahagian dalam catatan sejarah ragbi negara kerana setelah beberapa tahun berjuang, mereka layak ke Liga Premier Ragbi Asia 2018.

“Kita pernah bermain di Divisyen 2, kita pernah bermain di Divisyen 1 dan sekarang kita berada di Liga Premier.”

“Kejayaan ini datang bukan dalam tempoh yang singkat. Kita pernah kalah, menang, dan kalah semula. Saya yakin, pemain kita juga akan buat sesuatu yang lebih baik untuk Liga Premier ARC 2018,” kata pemain Yamaha Jubilo ini yang mesra dengan panggilan Duke.

Duke meluahkan keyakinan terhadap masa depan ragbi negara dan tidak menolak kemampuan skuad Bunga Raya untuk layak ke Piala Dunia Ragbi.

“Skuad negara kita berada pada tahap yang terbaik. Ragbi di Malaysia mampu pergi lebih jauh termasuklah prestasi skuad tujuh sebelah dan skuad wanita yang semakin menyerlah,” menurutnya lagi.

Mengambil contoh seperti di Jepun, negara itu turut mengalami pelbagai masalah dan kesukaran sehingga akhirnya kini merupakan gergasi dalam dunia ragbi di Asia.