Keadaan banjir yang belum pulih dan cuaca tidak menentu di negeri ini, memaksa pasukan Kelantan menjalani latihan di Kuala Lumpur sebagai persiapan menghadapi Selangor PKNS pada saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata pasukan 'The Red Warriors' (TRW), berlepas ke Kuala Lumpur hari ini bagi menjalani latihan di padang Pusat Latihan Jeonsa, Kampung Baru.

"Sejak Jumaat lalu, persiapan pasukan (Kelantan) banyak terjejas berikutan banjir dan hujan lebat, padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di sini, yang sebelum ini digunakan untuk berlatih, tidak boleh digunakan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sabtu lepas, perlawanan Liga Super antara Kelantan dan Melaka United yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, ditunda ke suatu tarikh lain berikutan cuaca buruk.

Zahasmi berkata perlawanan pada Jumaat ini, kemungkinan memberi tekanan kepada pemainnya kerana ia adalah aksi sulung TRW di tempat lawan.

"Kami akan cuba sedaya upaya pada perlawanan pertama kami, kami mahu melihat keserasian pemain terutamanya pemain import," katanya.

-- BERNAMA