Bapa kepada jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan, berharap anaknya dapat melangkah jauh dalam kerjaya sukannya.

Jantan Ramli, 47, berkata Khairul Hafiz telah mula menunjukkan bakatnya sejak berada di bangku sekolah rendah lagi.

"Pertama sekali, untuk mencapai keputusan cemerlang begini, saya nak ucapkan terima kasih kepada jurulatihnya (Mohd Poad Md Kassim) yang memberikan kejayaan ini. Khairul Hafiz dari darjah enam lagi menjadi olahragawan sekolah.

"Sukan ini memang bukan baru bagi keluarga saya kerana ramai terlibat dalam sukan. Ada juga adik-beradik saya yang wakil Sukma, ia mungkin keturunan.

"Jika dia nak pergi lebih jauh, ia bergantung usaha diri sendiri. Kami (ibu bapa) cuma berdoa untuk yang terbaik bagi anak-anak," katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika ditemui pemberita di Stadium Sarawak di sini, pada Khamis.

Beliau terdahulu menyaksikan anaknya memecahkan rekod Sukma bagi acara 200m dengan menamatkan larian dalam masa 21.14 saat, berbanding rekod lama yang dicatatkan bekas pelari pecut dari Terengganu, Nazmizan Muhammad, iaitu 21.33s yang dilakukan di Sukma 2002 di Sabah.

Itu merupakan rekod kedua yang dipecahkan pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) berusia 18 tahun itu dalam masa 24 jam, selepas memadam rekod kebangsaan berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dalam acara 100m.

Khairul Hafiz mencatat rekod baharu dengan melintasi garisan penamat dalam masa 10.18s, berbanding 10.30s yang dicatatkan Watson pada Kejohanan Pra-Komanwel 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemudian beliau berganding dengan Badrul Hisyam Abdul Manap, Asnawi Hasyim dan Muhammad Azam Masri untuk meleburkan satu lagi rekod kejohanan dalam acara 4x100m lari berganti-ganti untuk pasukan Melaka.

Kuartet itu mencatat 39.89s berbanding rekod terdahulu, 41.04s milik pasukan Sabah yang terdiri daripada Rayzamshah Wan Sofian, Mohd Aliff Nyat, Fahrul Nazri dan Md Helmi Augustinus pada Sukma 2008 di Terengganu.