BARCELONA mengesahkan mereka akan membuat rayuan berhubung penggantungan dua perlawanan Luis Suarez yang akan menafikan aksinya dalam perlawanan akhir Copa del Rey.

Pemain itu dikenakan penggantungan dua perlawanan oleh Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) semalam ekoran kad merah yang dilayangkan ke atasnya dalam pertemuan kedua dengan Atletico Madrid.

Suarez menerima kad kuning kedua di penghujung perlawanan dalam aksi seri 1-1 di Nou Camp selepas berbalah dengan pemain tengah lawan, Koke.

Hakim Majlis Jawatankuasa Pertandingan, Francisco Rubio, mendapati Suarez perlu menjalani penggantungan satu perlawanan kerana dibuang padang, dan kesalahan kedua kerana gagal meninggalkan kawasan teknikal Barca sejurus dibuang padang.

Lantaran itu, bekas penggempur Liverpool berkenaan bakal terlepas aksi perlawanan akhir serta perlawanan sulung saingan itu musim depan selain dikenakan denda EUR1,200.

Barca, bagaimanapun, mengesahkan mereka akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Jawatankuasa Rayuan dengan berkata: "Kami membuat rayuan kerana tiada pemain Blaugrana yang mengasari pemain lawan secara melulu seperti yang dicatatkan dalam laporan pengadil."

Bercakap mengenai insiden itu, Suarez -- yang menjaringkan gol awal permainan untuk kemenangan 3-2 mereka secara agregat -- mendakwa dia tidak diberi peluang untuk menjelaskan kepada pengadil, Jesus Gil Manzano, yang menyebabkan dia dilayangkan kad kuning.

"Saya tergelak apabila dibuang padang, ia sesuatu yang boleh dihidu," katanya kepada Gol.

"Itulah yang dihajati pengadil. Saya benar-benar marah, ia langsung bukannya kekasaran.

"Seperti biasa, pengadil tidak memberi saya peluang untuk menjelaskannya."

Dalam masa yangs sama, Barca menerima perkhabaran gembira apabila berjaya dalam rayuan kad kuning Sergio Busquets yang didakwa melengah-lengahkan permainan.

Busquets menerima kad kuning kerana menyepak keluar bola, namun Barca mendakwa pemain tengah itu hanya mengeluarkan bola kedua (berlebihan) itu.

Ini bermakna, dia boleh diturunkan dalam perlawanan akhir Copa del Rey bertemu Alaves.