KETIKA tumpuan peminat banyak tertumpu di Liga Profesional Mobile Legends (MPL) yang berlangsung di One Utama, Petaling Jaya, Ahad lepas, pertandingan Kejohanan Mobile Legends Selangor di Shah Alam tidak kurang hebatnya.

Walaupun nilai wang kemenangan secara keseluruhan tidak sehebat MPL, namun itu tidak menghalang nama-nama gah di persada ML seperti Team Eksdi, AirAsia Saiyan, Mysterious Assasin (MyA) dan Mystic Burden, untuk menghantar wakil masing-masing ke pertandingan itu.

Selain itu, pertandingan itu juga banyak menyaksikan kemunculan pasukan-pasukan baru yang tidak diduga berjaya mengejutkan pihak lawan yang lebih jauh berpengalaman.

Pasukan Lagenda sebagai contoh, walaupun baru dua bulan ditubuhkan, sudah mampu menggegarkan arena Mobile Legends tanah air, dan kali ini mereka tampil memberi cabaran dengan nama Pasukan Lagenda Eksdi.

“Satu permulaan yang sangat baik telah dipamerkan Team Lagenda Eksdi mengambil kira bahawa pertandingan tersebut merupakan yang pertama mereka sertai di peringkat professional,” kata pengurusnya Mohd Hafis Khairullah kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Ia dikira pencapaian yang cukup gah bagi pasukan itu kerana tanpa disangka, mereka berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir, walaupun akhirnya gagal ke peringkat akhir akibat tumpas kepada juara keseluruhan, MyA.

Dalam pertandingan akhir, MyA berjaya menewaskan satu lagi pasukan gah iaitu MG Elite, dan merangkul hadiah utama bernilai RM10,000.