GERGASI Jerman, Bayern Munich berjaya mendapatkan khidmat pertahanan antarabangsa Perancis, Benjamin Pavard daripada pesaing Bundesliga, Stuttgart.

Pavard akan menyertai Bayern pada 1 Julai 2019, selepas bayaran perpindahan yang dilaporkan bernilai £31.5 juta (RM164.2 juta) dipersetujui kedua-dua pihak.

Pemain berusia 22 tahun itu bakal menandatangani kontrak selama lima tahun dengan juara bertahan Bundesliga itu.

Pavard mempamerkan aksi cemerlang semasa Piala Dunia 2018 tahun lepas dengan membantu Perancis muncul juara buat kali kedua selepas mengalahkan Croatia 4-2.



Pengarah Sukan Bola Sepak kelab itu, Hasan Salihamidzic turut menyatakan bahawa kelab itu berminat untuk mendapatkan penyerang remaja Chelsea, Hudson-Odoi, untuk menguatkan barisan serangan pasukan itu.

Ia berikutan khidmat pemain sayap, Arjen Robben dan Franck Ribery akan tamat pada akhir musim ini.

Pavard memulakan kerjayanya di Perancis bersama kelab Lille sebelum berhijrah ke Stuttgart pada 2016.