BAYERN MUNICH melebarkan rekod miliknya dengan menjuarai gelaran Bundesliga buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan Wolfsburg 6-0 di Arena Volkswagen, awal pagi tadi.

Keputusan seri tanpa jaringan aksi RB Leipzig nenentang skuad kedua tercorot, Ingolstadt, yang berlangsung sebelum itu, membuka peluang lebih mudah kepada Bayern untuk mengekalkan gelaran dan memberikan Carlo Ancelotti medal liga dalam musim pertamanya selepas menggantikan Pep Guardiola.

Perlawanan itu sudah berakhir pada separuh masa pertama apabila sepakan percuma menarik David Alaba dan dua gol daripada Robert Lewandowski meletakkan Bayern di depan 3-0, dan gol selepas rehat daripada Arjen Robben, Thomas Muller dan Joshua Kimmich melengkapkan kemenangan dan memastikan Bayern mengesahkan kejuaraan dengan tiga baki perlawanan.

Skuad Bavarian menjadi pasukan pertama dalam sejarah Bundesliga memenangi gelaran keempat berturut-turut pada musim lalu dan kini telah melebarkan rekod milik mereka.

Kemenangan itu akan melembutkan tamparan pada bulan yang sukar ini selepas Bayern tersingkir daripada suku akhir Liga Juara-Juara ketika menentang Real Madrid, manakala mereka juga tewas kepada pesaing, Borussia Dortmund, dalam aksi separuh akhir DFB-Pokal pada pertengahan minggu lepas.

Kekalahan itu adalah sebahagian daripada rentetan hanya satu kemenangan dalam tujuh perlawanan dan membawa kepada spekulasi bahawa sebahagian daripada skuad Bayern kecewa dengan kaedah Ancelotti, yang menyebabkan jurulatih berbangsa Itali itu menafikan kedudukannya terancam.

Tetapi Bayern kini boleh meraikan satu lagi kejayaan liga untuk memperbaharui percubaan bagi mencabar semua kejohanan pada musim depan.