Sebelum temasya Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang bermula pada 9 Februari, peluncur ski, Magnus Storm dan rakannya dari Reuters, Sylvain Marchandise, menghabiskan masa selama 5 hari di kawasan gunung sejuk dengan meluncur dari lokasi ke lokasi.

Mereka bukannya atlet tetapi menjalankan kerja mengatur kabel sepanjang ratusan meter setiap hari supaya para wartawan Reuters boleh menghantar gambar dan artikel, kepada pengarang mereka di pusat media yang terletak di kaki gunung.

Cuaca kali ini sangat ‘membekukan tulang’, iaitu 20 darjah Celsius di bawah paras beku.

“Kabel-kabel itu boleh rosak dan patah gara-gara terlalu sejuk,” kata Strom.

Beginilah 'beku dan seksanya' jadi wartawan, juruteknik di temasya Olimpik Pyeongchang

Temasya Pyeongchang di Korea Selatan disifatkan sebagai penganjuran paling sejuk dalam sejarahnya sejak tahun 1994 di Lillehammer, Norway.

Cabaran itu ditambah pula dengan tiupan angin kuat yang membadai bandar-bandar di pergunungan.

Kelajuan angin boleh mencapai sehingga 72 kilometer sejam hinggakan beberapa acara terpaksa ditangguhkan.

“Ini adalah antara keadaan terburuk yang pernah kami alami ketika bertugas.

“Kami mempunyai pekerja yang terpaksa berada di luar bangunan selama 12 jam dalam suhu beku,” ujar ketua kumpulan juruteknik, Andrew Edgington, yang telah memasang 14,000 meter kabel di seluruh kawasan acara di tempat tertutp dan terbuka.

Di Stadium Olimpik, juruteknik turut memakai kelengkapan abah-abah untuk memanjat bumbung bagi memasang kamera robotik sempena liputan upacara pembukaan.

Pasukan tersebut turut menempatkan jurugambar di venue terbuka untuk membuat liputan acara luncur salji, ski gaya bebas, lompatan ski dan sebagainya.

“Semua ini memerlukan usaha berkumpulan daripada seluruh pasukan teknikal,” ujar Edgington.

Bagi wartawan yang melapor di kawasan terbuka, Reuters membekalkan mereka dengan parka berwarna biru tebal yang lengkap dengan logo agensi media tersebut.

Semua petugas juga mempunyai senarai barangan wajib seperti pakaian dalam termal, pakaian tebal dan berlapis, but kalis air dengan tapak yang boleh mencengkam permukaan bersalji atau berais.

Selain itu, dakwat dalam pen boleh mengeras dalam suhu sebegitu, maka semua wartawan yang bertugas di luar dibekalkan dengan pensil dan buku nota saiz saku. Itu adalah kaedah yang paling dipercayai dan berkesan untuk mencatat maklumat.

Sarung tangan dengan bahagian hujung jari terbuka juga memudahkan, memandangkan sukar untuk memegang pensil ketika memakai sarung tangan ski.

Wartawan juga mempunyai alat penghangat dalam poket kot mereka - bukan untuk tangan mereka tetapi telefon bimbit. Dalam cuaca sejuk, lebih-lebih 25 darjah Celsius di bawah paras beku dan lebih rendah daripada itu, bateri telefon bimbit pantas menyusut dengan sendirinya.