BEKAS juara dunia UFC Vitor Belfort atau juga dikenali sebagai 'The Phenom' dalam kalangan peminat sukan seni bela diri campuran (MMA), secara rasminya menyertai ONE Championship.

Jaguh dari Brazil yang mempunyai rekod profesional 26-14-1 ini, telah membuat keputusan untuk keluar dari persaraan dan menandatangi kontrak dengan ONE yang berpangkalan di Singapura.

Khabar angin yang mengatakan Belfort bakal menyertai ONE bertiup kencang beberapa hari lepas selepas dia dilihat keluar bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif CEO Championship, Chatri Sityodtong.

Perkara itu turut disahkan Sityodtong dengan memuat naik posting di laman Instagramnya pada Jumaat, dan turut diperkenalkan secara rasminya dalam sebuah acara ONE di Las Vegas, Nevada pada hari sama.

Belfort, 41 tahun, yang sebelum ini merupakan bekas juara bagi divisyen light heavyweight di UFC, juga merupakan pemegang rekod knockout (KO) tertinggi di UFC iaitu sebanyak 12 KO.

Dengan perjanjian ini, beliau menyertai beberapa lagi bekas atlet dari UFC seperti Eddie Alvarez, Demetrious Johnson dan Sage Northcutt.

Setakat ini masih belum jelas sama ada beliau akan bertanding di division heavyweight ataupun lightweight.

Apa yang pasti, juara bagi kedua-dua division itu, Brandon Vera dan Aung La N Sang bakal memerhati aksi Belfort di ONE dengan lebih rapat lagi.