Hasrat bekas peserta program realiti bola sepak kanak-kanak, Mohd Alif Syazwan Mohd Zamri untuk meneruskan karier dalam sukan itu terbantut apabila disahkan mengidap leukimia.

Alif, 10 tahun mengidap Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) Oktober lepas.

Alif sebelum ini pernah mewakili negara dalam satu kejohanan bola sepak di Croatia.

Namun dia yang diasah bakatnya oleh Kenari Kid Pokok Sena sejak berusia 4 tahun kini hanya mampu terlantar di rumah.

Bukan sahaja tidak dapat bermain, Alif kerap mengalami pening, muntah serta demam.

Bagi bapanya, Mohd Zamri Kameh, Alif terpaksa menjalani rawatan intensif lebih dua tahun dan berkemungkinan tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain.

Malah perbelanjaan rawatan anak bongsunya itu dianggarkan sekitar RM500 ribu.

Zamri turut berharap ada pihak yang tampil membantu mereka bagi membantu meringankan beban kos rawatan buat Alif.

Sementara itu, wakil jurulatih dan pemain Kenari Kid Pokok Sena, Haris Che Mat bersimpati dengan nasib Alif.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian Pokok Sena hadir untuk menyerahkan bantuan berbentuk wang tunai dan hamper kepada keluarga kanak-kanak itu.

Mereka yang ingin membantu Alif boleh menyalurkan bantuan ke akaun bank ibunya, Zabedah Bakar atau menghubungi keluarganya.