BELGIUM mara ke pusingan suku akhir Euro 2016 selepas menyaksikan aksi mantap daripada kapten pasukan Eden Hazard membantu Belgium menewaskan Hungary 4-0 di Toulouse, awal pagi tadi.

Pertahanan Tottenham Hotspur, Toby Alderweireld membuka jaringan seawal minit ke-10 perlawanan menerusi tandukkan menewaskan penjaga gol veteran Gabor Kiraly. Ia merupakan gol kedua buat Alderweireld bersama skuad kebangsaannya.

Kiraly yang berusia 40 tahun cuba menghidupkan kembali semangat para pemain Hungary bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan dari Belgium.

Pada minit ke-35, Kevin De Bruyne melepaskan rembatan melalui sepakan percuma, tetapi berjaya ditepis Kiraly sebelum terkena palang gol.

Bersambung di babak kedua perlawanan, juara Kumpulan F meningkatkan serangan untuk mencari gol penyamaan gagal menembusi barisan pertahanan Belgium.

Pada minit ke-78, hantaran Hazard berjaya mencari pemain gantian Michy Batshuayi untuk menggandakan jaringan buat Belgium.

Selang dua minit kemudian, giliran Hazard menjaringkan gol selepas menggelecek melepasi dua pertahanan lawan.

Yannick Ferreira Carrasco menyempurnakan malam Belgium selepas menjaringkan gol keempat dalam masa kecederaan perlawanan.

Skuad kendalian Marc Wilmots akan bertemu Wales dalam aksi suku akhir yang berlangsung pada 2 Julai nanti.