PENYERANG Rosenborg, Nicklas Bendtner, telah meminta maaf selepas terlibat dalam satu insiden menyerang pemandu teksi di Denmark.

Laporan pada minggu ini menyatakan bahawa bekas penyerang Arsenal itu terlibat dalam pertengkaran di Copenhagen pada Ahad lalu, di mana pemandu itu dikatakan mengalami patah tulang rahang.

Sewaktu ditemui bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rosenborg, Tove Moe Dyrhaug, dalam sidang media semalam, Bendtner mengeluarkan kenyataan meminta maaf dan memberitahu pihak kelab bahawa permohonan itu dilakukan dengan sepenuh hati.

"Seperti yang ada dapat baca melalui media dalam beberapa hari lalu, saya terlibat dalam satu kejadian yang tidak disengajakan pada sekitar jam dua pagi, Ahad lalu," katanya.

"Saya tidak menyedari apa yang berlaku dan berasa sangat sedih kerana kesan daripada situasi itu sangat buruk.

"Buat semua penyokong Rosenborg, saya kesal perkara ini berlaku. Sejak mula, saya begitu berbesar hati dapat beraksi di depan peminat Rosenborg dan menjadi satu kebanggaan apabila dapat menyumbang buat diri sendiri serta pasukan.

"Kepada pihak kelab, saya meminta maaf dengan sepenuh hati pada hari ini. Rosenborg adalah sebuah kelab yang sangat bagus buat saya. Ia seperti di laman sendiri bersama keluarga baru tatkala saya memerlukan permulaan baru.

"Jersi hitam dan putih berada dalam hati saya walaupun ketika tidak menyarungnya," tambahnya.

"Buat rakan sepasukan, saya kesal apabila perkara ini mengganggu fokus pada waktu yang penting. Terima kasih kerana memahami apa yang telah saya hadapi. Semua individu yang berkongsi bilik persalinan setiap hari tahu bahawa saya bukan dan tidak pernah menjadi seorang yang bertarung tetapi saya mempertahankan apa yang disayangi, tidak kira di dalam atau luar padang.

"Rosenborg mempunyai banyak perlawanan menarik ketika musim luruh. Saya mahu menyumbang bagi mencapai sasaran mendapatkan satu lagi saingan bersama trofi. Saya mahu terlibat dalam semua perkara yang ada dan saya akan melakukannya.

"Sudah tentu saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan mengelakkan diri daripada terlibat dalam perkara seperti itu.

"Mengenai tindakan yang akan diambil, saya tidak boleh memberi kenyataan lanjut dan segala perkara perlu dirujuk dengan peguam saya, Anders Nemeth."

Menurut laporan, Bendtner dan teman wanitanya berada di kelab malam eksklusif, Lusso, sebelum insiden itu berlaku.

Rosenborg menandatangani pemain berusia 30 tahun itu dari Nottingham Forest pada Mac lalu.