Pemain Melaka United diingatkan agar beraksi secara berpasukan dan tidak bertindak solo semata-mata mahu diangkat sebagai hero.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) Datuk Seri Idris Haron berkata kejayaan sesebuah pasukan adalah hasil kerjasama semua pemain, terutamanya penyokong Melaka United masih dahagakan kejayaan daripada pasukan kesayangan mereka itu.

"Jangan hampakan penyokong kerana mereka percaya dan menaruh harapan tinggi dengan kemampuan pasukan kesayangan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi baharu pasukan Melaka United di Stadium Hang Tuah, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden MUSA Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Idris yang juga Ketua Menteri Melaka berkata harapan beliau kepada pasukan Melaka United selepas berjaya kekal dalam saingan Liga Super musim ini, adalah merangkul satu piala dalam saingan Liga Malaysia 2018, sama ada Piala FA, Piala Malaysia ataupun Liga Super.

-- BERNAMA