PASANGAN beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, merangkul kejuaraan pertama di pentas antarabangsa tahun ini selepas menumpaskan wakil Denmark dalam final Kejohanan Badminton Terbuka Jerman, malam ini.

Soon Huat-Shevon mengesahkan gelaran juara kebangsaan minggu lalu meskipun diletakkan sebagai beregu campuran kedua negara.

Kali ini, momentum sama diteruskan dalam Terbuka Jerman apabila muncul satu-satunya wakil negara yang mara ke final untuk berdepan Niclas Nohr-Sara Thygesen buat julung kalinya.

Pada awal pertarungan, Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking ke-10 dunia, mempamerkan aksi berhati-hati untuk cuba membaca permainan lawan, namun selepas terikat 11-11, mereka mula mencipta jurang mata sebelum memenangi set pertama 21-14.

Set kedua bermula lebih mudah buat Soon Huat-Shevon yang mendahului 5-0 sebelum lawan yang di ranking ke-55 dunia itu berjaya menghadirkan kekalutan pada penghujung aksi untuk permainan hampir sahaja diheret ke set ketiga.

Namun, Soon Huat-Shevon menamatkan pertarungan 47 minit itu 22-20 untuk dinobatkan juara.

Kejuaraan ini sudah pasti menjadi suntikan semangat buat mereka mengharungi kejohanan Seluruh England, Rabu nanti.