JUVENTUS telah mengesahkan nilai sebuah pasukan untuk mencabar trofi Liga Juara-Juara Eropah, menurut Federico Bernardeschi.

Kehadiran Cristiano Ronaldo selaku penjaring terbanyak kejohanan sepanjang zaman telah memberikan nafas baru buat Bianconeri dalam usaha untuk menjulang trofi sejak 1996 itu.

Ronaldo menjadi watak utama menafikan kemaraan Juventus dalam dua musim sebelum ini, menjaringkan dua gol buat Real Madrid ketika final tahun lalu dan melengkapkan sepakan penalti kontroversi dalam saingan suku akhir musim lalu.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri itu harus melepasi cabaran sukar peringkat kumpulan selepas diundi bersama Manchester United, Valencia dan Young Boys sekiranya merealisasikan keyakinan yang disuarakan oleh Bernardeschi dan penggempur Itali itu yakin dia dan rakan sepasukannya mampu melangkah jauh.

"Saya rasa tahun ini kami memiliki skuad yang kuat dan sempurna, dibarisi pemain-pemain hebat," katanya.

"Kami berharap agar dapat menjulang trofi Liga Juara-Juara walaupun ia tidak mudah kerana saingan ini pastinya sangat istimewa dan segalanya boleh berubah pada bila-bila masa.

"Ia akan menjadi cabaran yang menarik. Kami berasa cukup kuat untuk melakukan apa yang mampu tetapi jelas sekali kami akan buktikannya di atas padang."

Bernardeschi hanya dua kali membarisi kesebelasan utama Juve dalam saingan Serie A musim ini serta menyumbat jaringan ketika menewaskan Chievo 3-2.