JURULATIH skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt, terpaksa menggugurkan dua pemain tonggak, Matthew Davies dari Pahang dan pemain tengah Sarawak, Nur Shamie Iszuan Amin, untuk aksi persahabatan menentang skuad muda Vietnam.

Menurut Bernhardt, kedua-dua pemain berkenaan mengalami kecederaan selepas beraksi bersama pasukan masing-masing dalam perlawanan Liga Super, pada Sabtu.

Sehubungan itu, pengendali dari Jerman ini terpaksa memanggil pemain lain, N. Thanabalan dari Felcra FC dan pemain Kelantan, Shahrul Hakim Rahim, untuk mengisi kekosongan itu.

Meskipun kehilangan dua pemain utama, Bernhardt percaya pemain sedia ada mampu menggalas tugas untuk memastikan keputusan positif berdepan Vietnam di Bandaraya Ho Chi Minh, Selasa nanti.

"Ia bukan mudah kerana kami membuat pertukaran posisi dan cuba melakukan yang terbaik buat masa ini. Kami perlu mencari penyelesaian dalam tempoh singkat," katanya.

Bernhardt bersama 18 pemain negara berlepas ke Vietnam, pada Ahad.

Pertemuan di tempat lawan itu akan menjadi aksi pertama skuad negara tahun ini sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos nanti.

"Kami mesti memberi cabaran hebat kepada lawan dan bermain dengan cara kami. Kami perlu mencari peluang dan mencari gol.

"Kalau dipaksa bertahan, kami perlu bertahan dengan kuat untuk mengelak bolos. Itu semua adalah sasaran utama kami," tambahnya.