Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan mengambil pendekatan berdiam diri, berhubung isu desakan ahli gabungan yang mahu beliau berundur secara terhormat daripada menerajui persatuan terbabit.

Bibi Ramjani berkata beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini, dan lebih selesa mengambil pendekatan mendiamkan diri berhubung isu itu.

"Maaf dengan hormatnya biarlah lebih baik saya diamkan diri, apabila tiba masanya nanti baharulah saya akan jawab (desakan letak jawatan)," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Hari ini akhbar melaporkan Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah, Kamarudin Mohamad memberi kata dua kepada presiden wanita itu untuk berundur secara terhormat, atau berhadapan undi tidak percaya pada Kongres Luar Biasa (EGM) yang dijadual diadakan Jun ini.

Bibi Ramjani berkata beliau mahu memberikan peluang dan ruang kepada mana-mana (individu) dahulu untuk keluar kenyataan melalui media.

"Apa lebih penting bagi saya ialah menumpukan kepada pasukan yang kini berusaha sedaya mampu untuk pada saingan Liga Premier," katanya.

Di bawah kepimpinan Bibi Ramjani, Kelantan mengalami pelbagai isu, antaranya kegagalan membayar gaji dan terbaharu pemotongan mata sehingga menyaksikan skuad yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors (TRW) itu berada dalam kelompok terbawah Liga Premier.

Sebelum ini usahawan wanita itu dipilih sebagai presiden bagi penggal 2018 hingga 2021 pada kongres Tahunan KAFA ke-63 bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang meletak jawatan selepas menerajui persatuan itu selama lapan tahun.

-- BERNAMA