BEKAS bintang bola keranjang, Vin Baker pernah dianggap sebagai pemain penyerang paling mahal dalam sejarah National Basketball Association (NBA) Amerika Syarikat.

Selepas beraksi selama 13 musim sejak tahun 1993, Vin kini bekerja di kedai kopi Starbucks selepas kehilangan hampir kesemua hartanya.

Bekas pemain yang pernah mewakili New York Knicks dan Los Angeles Clippers ini pernah dianggarkan bernilai AS$ 100 juta (RM382 juta) semasa aktif secara professional.

Memetik laporan Forbes, Vin yang kini berusia 43 tahun mendedahkan kisah hidupnya kepada Kevin McNamara dari Providence Journal.

Beliau memaklumkan dirinya terjebak dengan perlaburan yang merugikan, ketagihan alkohol selain rakan-rakan yang mengambil kesempatan terhadap kekayaannya.

“Saya menyarankan supaya anda mengelilingi diri dengan individu yang boleh dipercayai, seseorang yang boleh memberitahu anda sekiranya salah berbelanja,” ujarnya apabila ditanya nasihat yang boleh diberikan kepada pembaca.

Dalam temubual itu, Vin menyatakan perkara itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira berapa jumlah harta yang dimiliki.

Beliau kini sedang menjalani latihan untuk menguruskan cawangan francais Starbucks.