Program pembangunan bola sepak wanita seharusnya perlu berubah dan dimulakan dari peringkat yang lebih awal.

Pengurus pasukan bolasepak wanita Malaysia Datuk Suraya Yaakob berkata, acara bola sepak wanita seharusnya dipertandingkan lebih awal di peringkat kebangsaan seperti Sukan Malaysia (Sukma) bagi membolehkan lebih ramai kaum itu terlibat dalam sukan berkenaan.

“Sebab itu kita sangat perjuangkan agar acara bola sepak wanita ini dipertandingkan dari peringkat Sukma lagi agar bakat-bakat baharu boleh dicungkil lebih awal.

"Bayangkan kalau semua negeri mempunyai pasukan bola sepak wanita mereka sendiri,berapa ramai yang kita boleh pilih yang terbaik untuk menyertai pasukan negara," katanya ketika ditemui pada Majlis berbuka puasa dan majlis pengenalan pemain dan pegawai pasukan bolasepak wanita di Wisma FAM.

Skuad bimbingan Jacob Joseph ini akan menggalas cabaran ke kejohanan kejuaraan bola sepak wanita AFF yang akan berlangsung di Palembang Indonesia pada 30 Jun ini sehingga 13 Julai 2018.

Sementara itu Jacob agak kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh beberapa pemain wanita kebangsaan yang mempunyai potensi yang besar dalam bola sepak namun lebih memilih untuk beralih arah ke skuad futsal berbanding bola sepak padang.

“Kita sebenarnya mempunyai ramai pemain berbakat yang saya harapkan namun kebanyakan mereka yang saya panggil yang mempunyai potensi yang bagus menolak tawaran untuk menyertai skuad futsal.

“Dengan tempoh persiapan yang singkat dan senarai pemain yang ada ini tidak banyak harapan yang boleh diletakkan pada kejohanan ini apatah lagi pasukan negara diletakkan dalam kumpulan maut," katanya.

Skuad bola sepak wanita negara akan memulakan saingan di kejohanan itu berdepan Australia pada 30 Jun.

Bagi Jacob kejohanan ini hanya boleh dijadikan sebagai medan pendedahan kepada pemain untuk mempersiapkan diri pada kejohanan yang lain seperti Sukan SEA yang akan berlangsung di Filipina nanti.