Tutup

Berita  | Sukan

Bonus menarik menanti pemain Perak

Bonus menarik menanti pemain Perak
Ahmad Faizal bercakap pada sidang media di sini pada Jumaat berhubung perlawanan akhir Piala FA 2019. --fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengesahkan bonus menarik bakal menanti skuad 'The Bos Gaurus' sekiranya mereka berjaya mengatasi Kedah pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 27 Julai ini.

Tanpa mendedahkan jenis bonus, Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia merupakan penghargaan PAFA ke atas pemain Perak yang bekerja keras sehingga mara ke aksi final, katanya pada sidang media, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal, yang juga Menteri Besar Perak memaklumkan, beberapa kelab penyokong Perak dan Kedah telah mencapai persetujuan untuk berkonvoi dari Stadium Perak di Ipoh ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari perlawanan sebagai lambang perpaduan di antara penyokong kedua-dua pasukan berkenaan.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan, kerajaan negeri turut bersetuju untuk memasang skrin gergasi di 10 kawasan di negeri berkenaan bagi membolehkan penyokong yang gagal mendapatkan tiket bagi menyaksikan aksi final nanti.
Ditanya mengenai kaedah penjualan tiket, Ahmad Faizal menjelaskan, setiap penyokong hanya dibenarkan membeli dua keping tiket apabila proses jualan tiket bermula pada 23 Julai ini, sambil memaklumkan pemegang kad bermusim PAFA dan penyokong yang hadir pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak pada 29 Jun lalu, hanya dibenarkan untuk membeli sekeping tiket seorang.

"Kita telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuat pemantauan di kesemua tempat penjualan tiket," katanya.

PAFA menerusi kenyataan media dalam laman Facebooknya beberapa hari lepas memaklumkan, mereka akan menjual 15,000 keping tiket dewasa dan 750 keping tiket kanak-kanak di kaunter Stadium Perak, 12,000 keping tiket di tujuh kawasan lain di negeri berkenaan pada 22 Julai, bermula jam 10.30 pagi sehingga pukul 3.30 petang, selain baki 3,000 keping tiket akan diberikan kepada penaja PAFA dan jabatan-jabatan kerajaan negeri.

Tiket-tiket yang tidak habis dijual di tujuh kawasan berkenaan akan dijual di kaunter Stadium Perak pada keesokan hari (24 Julai).

Tujuh kawasan berkenaan adalah Stadium Sintetik Parit Buntar, Kerian; Pejabat Kemas Kampung Gajah, kaunter pandu lalu pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan; pejabat daerah Tanjung Malim, pejabat daerah dan tanah Lenggong, Dewan Jubilee Perak, Kuala Kangsar dan Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini menetapkan harga tiket dewasa berharga RM50 sekeping, manakala tiket kanak-kanak bawah 12 tahun berharga RM5 sekeping.

Pada aksi separuh akhir, Perak menewaskan Pahang dengan aggregat 4-3, manakala Kedah mengatasi Felda United menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 3-3..

-- BERNAMA